Khamis, 6 Disember 2012

Tumbuhan Herba 1



Bunga Kantan - atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenispokok saka herba
Bunga pokok ini yang berwarna merah muda banyak digunakan sebagai gubahan hiasan manakala tunas bunga ini dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu. Dibungkus seperti sayuran dan tak sesuai diletakkan dalam plastik. Tumbuhan ini mengandungi banyak bahan antioksida yang amat baik untuk kesihatan.

Akhir-akhir ini pokok kantan mendapat sambutan dalam pilihan tanaman landskap selain dari menjadi perencah masakan tradisional, bunganya juga popular dijadikan seni susunan bunga (Ikebana).Bunganya sangat cantik berwarna merah jambu kemerahan lebih cantik bila bunganya mekar 
Selain daripada digunakan dalam masakan ia juga mempunyai bahagian-bahagian yang berguna. Contohnya: 
  • Batang - mengubati penyakit bengkak-bengkak
  • Buah - menambah selera makan, mengurangkan rasa kurang bermaya dan sebagai ubat bagi menghilangkan lendir dan kahak pada tekak.
  • Ubi - perisa dalam makanan
  • Bunga - bahan gubahan jambak-jambak bunga
Biji - mengubati sakit telinga

Petua lain bunga kantan ialah untuk:
1) Mengilangkan bau badan - Caranya adalah, ambil beberapa batang pokok kantan segar, potong batangnya pendek-pendek dan ditumbuk hingga lumat.  Rebus hingga mendidih dan biarkannya sejuk.  Air rebusan tersebut bolehlah digunakan untuk mandi.  Insyaallah ia akan dapat menghilangkan bau badan yang kurang enak.
2) Awet muda - Dengan memakan bunga kantan akan membuatkan kita akan awet muda.
3) Sakit telinga - bunga kantan dikatakan boleh digunakan untuk menghilangkan masalah ini. Caranya ialah dengan merebus buah kantan selama beberapa minit. Selepas airnya disejukkan, titikkan air tersebut ke dalam telinga. Dikatakan jika diamalkan selalu, bukan sahaja setakat melegakan kesakitan akibat bengkak, malah mampu mengatasi masalah telinga berair.
4) Menguatkan tenaga batin lelaki - Dikatakan buahnya yang masak boleh digunakan untuk membantu meningkatkan tenaga batin dengan cara merebus buahnya yang masak dan meminum air rebusannya dan pastikan bertanya kepada pakar atau pengamal perubatan tradisional terlebih dahulu sebelum meminumnya kerana tanpa sukatan yang betul badan anda akan terasa kepanasan dan mungkin menimbulkan masalah lain.
5) Luka dibadan - Anda bolehlah merebus daun kantan. Air rebusan daun yang masih suam dikatakan boleh digunakan sebagai air pencuci luka dengan cara melumurkannya ke seluruh bahagian luka. 



Daun Kesum -  atau Daun Laksa ialah sejenis tumbuhan yang banyak terdapat di ASEAN. Nama saintifiknya Persicaria odorata atau Polygonum minus huds dan berasal dari keluarga Polygonaceae. Ia mudah ditanam, khususnya di kawasan-kawasan lembap yang berair. Daunnya digunakan sebagai ramuan untuk mengharumkan masakan tempatan seperti laksa dan masak asam pedas. Ianya berbau wangi dan dapat menghilangkan bau hanyir dalam hidangan.

Selain digunakan di dalam ramuan masakan kesum juga mempunyai nilai perubatan yang tinggi. Ia mujarab untuk mengubati masalah perut tidak hadam dan masalah kelemumur. Untuk melegakan masalah perut tidak hadam. Daun kesum direbus kemudian airnya diminum. Untuk merawat masalah kelemumur pula, daun kesum ditumbuk kemudian diperah. Air perahan itu dicampur dengan sedikit air sebelum digosok kekulit kepala. Biarkan 3-5 minit kemudian bilas dengan air bersih

Petua lain daun kesum:
1) Menghilangkan panau - Campurkan secekak daun kesum dengan sedikit minyak tanah. Gosokkan pada bahagian yang mempunyai panau setiap hari sehingga panau itu sembuh.
2) Mengekalkan stamina, mengekalkan kesihatan dan awet muda -  Makan pucuk daun kesum sebagai ulam setiap kali makan nasi.




Halia - Halia merupakan rempah penting yang diperniagakan di dunia bermula pada abad ke-5 masihi. India adalah pengekspot halia terbesar di dunia manakala halia dari Jamaica adalah yang terbaik dari segi kualitinya kerana mempunyai bau yang wangi dan rasa yang sedap. Halia merupakan tanaman berakar serabut dan senang dijaga. Ia cepat membiak di kawasan tanah yang lembab dan mendapat sinar matahari yang banyak. Tumbuhan ini mampu mencapai ketinggian sehingga 1.5 meter.
Halia mengandungi komponen minyak beruwap dan tidak beruwap. Gingerol, shogaol dan resin adalah kandungan sebenar halia yang terdapat di dalam minyak oleoresin. Khasiat tumbuhan halia yang selalu digunakan bagi merawat penyakit dalaman seperti melancarkan aliran darah, muntah-muntah, sakit kepala, selsema, terseliuh, batu karang, asma, kelemumur, kolestrol tinggi, sakit pinggang, cirit-birit dan mati pucuk. Artikel pasal halia boleh dibaca disini juga yer.  

Petua lain halia:
1) Menghilangkan panau - Tumbuk halia sebesar ibu jari hingga lumat.Tempelkan halia ke bahagian kulit yang berpanau selama 15 hingga 20 minit. Amalkan selalu.


Lengkuas - Lengkuas merupakan sejenis rizom dengan kegunaan masakan dan perubatan, dan banyak digunakan di Asia Tenggara. Rupanya hampir sama dengan halia. Lengkuas merupakan tanaman tempatan di Asia Tenggara. Nama saintifiknyaAlpinia galanga daripada famili Zingiberaceae. Pokok lengkuas tidak asing bagi masyarakat dan sering ditanam di belakang rumah dalam konsep parak (home garden). Rumpun dan bunganya yang menarik kini mula ditanam sebagai tanaman hiasan di sekitar taman persendirian.

Rizom lengkuas sering digunakan sebagai penyedap rasa dalam pelbagai resipi masakan tradisional   terutama rendang daging dan kari. Rizom ini juga digunakan dalam ramuan sambal seperti sambal daging, ikan kering dan sos. Selain penyedap rasa, rizom ini dapat menghilangkan bau hanyir daging atau ikan. Bunganya juga dibuat ulam atau dijadikan penyedap rasa dalam kerabu sayuran. Rizom dan daunnya juga digunakan sebagai ramuan dalam mandi daun selepas bersalin. Rizomnya ditumbuk dan disental di seluruh badan bagi mengawal jangkitan penyakit kulit seperti kurap dan panau. Rizomnya dikatakan dapat mengubati sakit perut dan dapat mengeluarkan angin serta gas dalam usus perut. Rizom juga dijadikan ramuan mandi selepas bersalin. Lengkuas biasanya digunakan dalam masakan untuk menambah aroma seperti masakan pedas, laksa penang, sup singgang dan boleh digunakan untuk masakan goreng. Dalam bidang perubatan, lengkuas boleh melegakan sakit perut, selsema dan agen antibakteria.

Petua menggunakan lengkuas:
1) Menghilangkan panau - Tumbuk beberapa ketul lengkuas dan perah airnya. Sapu air lengkuas pada kulit yang terkena panau. Ketika mengamalkan petua ini hendaklah tidak memakan sebarang lengkuas.
2) Menghilangkan panau 2 - Tumbuk beberapa helai daun lengkuas, ambil airnya dan sapukan pada tompok-tompok panau. Lakukan beberapa kali. Untuk lebih mempercepatkan kesannya, elakkan mengambil makanan yang menggunakan lengkuas.
3) Menghilangkan selesema bayi - Ambil 2 ulas bawang merah, sepotong lengkuas (agak-agak sama banyak dengan bawang merah) dan minyak masak. Tumbuk lumat bawang merah dan lengkuas kemudian campurkan dengan minyak masak. Selepas itu bolehlah di letakkan di ubun-ubun anak. Minyak masak mengelakkan kulit anak mengelupas sekiranya air daripada campuran tersebut terkena kulit bayi. 




Kunyit - Cucuma domestica val. Adalah dari keluarga Zingiberaceae. Tumbuhan ini dipercayai telah lama ditanam di India sejak zaman silam lagi dengan nama kunyit ini wujud dalam bahasa sanskrit. Walaubagaimanapun, sekarang ini kunyit umumnya dijumpai diserata rantau tropika dan beberapa kawasan subtropika. Nama kunyit boleh didapati dalam berbagai bahasa di Asia. Dalam Sankrit ia dipanggil Harida, Arab:Kukum, Tamil:Manja, Inggeris:Tumeric, Cina:Kiang-hoang. Jawa:Kunyir. Daripada perkataan Arab kita dapat sebutan Latin:Cucuma.

Kunyit (Curcuma longa) merupakan sejenis rempah yang banyak digunakan dalam kari dan masakan lain Asia Selatan. Kunyit juga digunakan untuk memberi warna kuning pada masakan. Selain kegunaan dalam masakan, kunyit juga terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu dan India dengan khasiatnya sebagai ubat pembersih dalaman badan dan mencantikkan kulit. Di samping itu daun serta bunga kunyit bagi sesetengah masyarakat Melayu memang digemari sebagai ulam.
 
Petua kunyit:
  1. Parut sedikit kunyit dan perah airnya. Amalkan meminumnya.
  2. Parut dua ketul isi kunyit dan seketul lempoyang. Kemudian bubuhkan setengah cawan air hingga sebati. Tapis dan campurkan dengan satu sudu besar air limau nipis dan madu. Minum selama tiga hari berturut-turut. Selain menyihatkan bahagian dalam tubuh, ia juga mencantikkan kulit.
  3. Memanaskan Badan: Tumbuk beberapa ketul kunyit hingga hancur. Campurkan dengan sedikit air dan tapiskan. Minum airnya tiga kali seminggu.
  4. Daun Kunyit: Sekiranya anda diserang pening atau sakit kepala, ramas beberapa helai daun kunyit bersama sedikit air. Selepas itu sapulah di kepala hingga rata.
  5. Isi kunyit dapat menyembuhkan penyakit senggugut terutamanya apabila dimakan mentah sebagai ulam bersama nasi. Kunyit juga melancarkan perjalanan darah dan mencegah kulit daripada cepat berkedut.


1 ulasan: